WEEK 5 : 20th - 25th June 2022

 


PENERAPAN NILAI MORAL MELALUI PLATFORM PERTANDINGAN FORUM REMAJA

Semester lalu, saya dan rakan-rakan yang mengikuti pembelajaran diploma pendidikan telah berkongsi berkenaan amalan nilai moral melalui forum teater. Sedikit sebanyak menambahkan lagi rencah dalam sistem pedagogi pendidikan. Ia diolah mengikut kesesuaian dan tahap daya pemikir pelajar-pelajar saya di MRSM Kuching. Objektifnya tetap sahaja memperlihatkan bagaimana isu dibentuk dan penyelesaian masalah dipupuk.

Ketandusan nilai moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat kian memuncak. Ibu bapa dan masyarakat menuding jari kepada sekolah dan pedagogi pendidikan yang dikatakan gagal membentuk generasi bermoral. Dalam konteks ini, mata pelajaran yang mengajar nilai, akhlak dan etika secara langsung di sekolah dan universiti ialah Pendidikan Moral.

Ahli bijak pandai pula terus menegaskan matlamat Pendidikan Moral bukan sahaja untuk merangsang kemoralan individu dalam aspek kognitif semata-mata, tetapi mendorong individu untuk mempraktikkannya dalam bentuk tingkah laku moral. Justeru, sejenis teater komuniti iaitu Teater Forum telah diubah suai dalam konteks pendidikan untuk dijadikan teknik pengajaran dan pemudahcaraan Pendidikan Moral di bilik darjah.

Kemahiran penyelesaian konflik dalam medium ini akan memberikan satu pengalaman dan latihan yang bermakna untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian.

Setiap anggota masyarakat tidak sepatutnya bersikap indivudualistik dan apati apabila berlaku masalah yang melibatkan keruntuhan moral. Bersikap simpati terhadap sesuatu keadaan tanpa menghulurkan bantuan atau menjadi penonton yang beretika sahaja (ethical bystander) tanpa bertindak, tidak mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat.

Pedagogi Teater Forum melatih pelajar menjadi anggota masyarakat yang bertindak aktif dalam menangani suatu konflik atau isu moral demi memelihara kemoralan dalam masyarakat.

Comments