WEEK 9 : 18TH JULY - 23TH JULY 2022


JAUHI BULI HARGAI DIRI

Pembelajaran moral di sekolah tidak terhad kepada pengenalan nilai sahaja. malah menjangkau kepada adab terhadap diri dan juga rakan lain. Isu buli amatlah ditakuti apabila pelajar menginjak kepada pembelajaran di asrama. Namun, setiap pihak haruslah memainkan peranan yang penting dalam menguruskan keadaan ini. Peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah diperhebat. Hal ini demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk membuat kerja lain daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk menyelesaikan masalah mereka. Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru kaunseling kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru tersebut. Oleh itu, guru bimbingan dan kaunseling harus memainkan peranan lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan dan memberikan kaunseling motivasi kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya, mangsa buli tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan orang lain kerana takut. Dengan ini, guru bimbingan dan kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli. Mereka juga akan lebih yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang terlibat.


Isu ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini.


 

Comments